Dari Bahagian — December 13, 2010 3:41 pm

Kehadiran PERKIM Di Sabah Perkukuhkan Lagi Dakwah Islamiah

Posted by

KOTA KINABALU, 13 Dis – Pengerusi Perhubungan Sukarelawan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Sabah, Datuk Lajim Ukin percaya kehadiran PERKIM ke negeri itu tidak akan mewujudkan pertindihan fungsi mahupun persaingan dengan beberapa NGO Islam yang sedia ada terutama Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia).

Menurut beliau, kehadiran PERKIM ke negeri Sabah hanyalah bertujuan membantu dakwah Islamiah termasuklah Usia.

“Matlamat dan arah tuju kita adalah sama iaitu untuk kerja-kerja dakwah Islamiah. Cuma PERKIM akan lebih menumpukan terhadap kebajikan saudara-saudara baru (mualaf) di Sabah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan berkata, PERKIM mempunyai kemampuan yang mencukupi untuk menjalankan kerja-kerja dakwah Islamiahnya termasuk soal menjaga kebajikan golongan mualaf.

“PERKIM mempunyai pegawai dakwah, guru agama, tempat latihan untuk saudara baru dan rumah persingahan saudara baru, jika PERKIM dibenarkan masuk ke Sabah, sudah tentu apa yang ada di PERKIM Pusat akan dapat dibawa ke sini untuk kebaikan masyarakat Islam di Sabah,” ujar.

Lajim yang juga bekas Timbalan Presiden Usia mengakui bahawa Usia sememangnya sudah dikenali dalam kerja-kerja dakwah Islamiahnya di Sabah.

Namun katanya, adalah lebih baik sekiranya NGO Islam lain yang berpusat di Semenanjung Malaysia termasuk PERKIM dibenarkan masuk ke Sabah untuk membantu menantapkan lagi gerakan dakwah.

Jelas beliau lagi ini kerana gerakan dakwah Islamiah adalah tanggungjawab semua umat Islam, sama ada NGO ataupun secara individu.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Beaufort seterusnya berkata kehadiran PERKIM ke Sabah adalah untuk kebaikan umat Islam di negeri ini dan dakwah Islamiah juga berkembang.

“Atas kapasiti orang Islam di Sabah saya merayulah kepada Usia supaya membenarkan PERKIM masuk ke Sabah.

“Jika NGO Islam lain yang berpusat di Kuala Lumpur seperti Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Angkatan Belia Islam Malayia (Abim) boleh masuk ke Sabah, kenapa pula PERKIM tidak boleh hanya sekadar terikat dengan perjanjian yang ditandatangani pada tahun 1977 antara Usia dan PERKIM untuk memantapkan gerakan dakwah Islamiah,” tegasnya.

Beliau berkata walaupun ada persefahaman sebegitu antara PERKIM dan Usia yang ditandatangani antara Almarhum Tungku Abdul Rahman Putra-Al Haj dan Allahyarham Tun Mustapha Datu Harun, sepatutnya Usia mengkaji semula perjanjian itu bagi memantapkan lagi gerakan dakwah Islamiah di Sabah.

Dalam pada itu, beliau berkata, penerimaan masyarakat Islam di negeri terhadap PERKIM cukup baik terutamanya di kalangan profesional dan pada masa ini mereka diberikuasa oleh PERKIM Pusat untuk dilantik sebagai Sukarelawan PERKIM Pusat di Sabah.

Beliau juga menegaskan, sekiranya PERKIM dibenarkan masuk ke Sabah ia tidak akan mengambil alih peranan Usia kerana pertubuhan Usia sememangnya berpusat di negeri itu.

  • Share this post:
  • Facebook
  • Twitter
  • Delicious
  • Digg

Comments are closed